Semoga bermanfaat :-)
- Pemantap automatik adalah sebahagian daripada dasar fiskal budi bicara yang dijalankan oleh kerajaan bagi membantu mencapai kestabilan ekonomi negara. Ia memainkan peranan yang kecil sahaja dalam membantu dasar fiskal yang lain supaya tingkat kegiatan ekonomi yang stabil dapat dicapai.
- Sesungguhnya, peranan pemantap automatik adalah untuk mengurangkan naik turun tingkat kegiatan ekonomi. Misalnya, dalam masa kemelesetan, pemantap automatik dapat mengurangkan masalah kemelesetan supaya keadaan tidak menjadi terlalu teruk. Sebaliknya jika ekonomi sedang mengalami perkembangan yang terlalu pesat, maka pemantap automatik akan mengurangkan kepesatan perkembangan ekonomi tersebut.
- Contoh pemantap automatik :
a) Cukai progresif dan cukai sebanding.
- Cukai yang berubah mengikut tingkat pendapatan. Semakin tinggi tingkat pendapatan, maka semakin banyak cukai yang perlu dibayar.
- Sebaliknya semakin kurang pendapatan yang diperoleh, maka semakin kurang cukai yang perlu dibayar.
- Dalam masa inflasi, cukai progresif dan cukai sebanding akan mengurangkan pendapatan boleh guna masyarakat. Ini akan mengurangkan masalah inflasi tarikan permintaan.
- Sebaliknya dalam masa kemelesetan, pendapatan masyarakat adalah rendah. Oleh yang demikian, cukai yang dibayar oleh pengguna menjadi semakin berkurangan. Ini bererti pendapatan boleh guna masyarakat kurang terjejas. Oleh itu, pengurangan perbelanjaan agregat dapat dikurangkan. Keadaan ini dapat mengurangkan kadar pengangguran.
b) Bayaran pindahan kerajaan.
- Contoh bayaran pindahan kerajaan ialah elaun pengangguran yang diberikan oleh kerajaan kepada penganggur. Dalam masa inflasi tarikan permintaan, jumlah penganggur adalah kurang. Oleh itu, bayaran elaun pengangguran turut berkurangan. Sesungguhnya pengurangan elaun tersebut akan mengurangkan permintaan agregat yang seterusnya dapat mengurangkan inflasi yang terjadi.
- Sebaliknya dalam masa kemelesetan ekonomi, bilangan penganggur akan bertambah. Oleh itu, bayaran elaun pengangguran turut ditambah oleh kerajaan. Sesungguhnya tambahan elaun tersebut dapat meningkatkan permintaan agregat. Akibatnya, masalah kemelesetan akan dapat dikurangkan.
c) Dasar harga.
- Semasa inflasi, kerajaan boleh melaksanakan dasar harga maksimum bagi membendung kenaikan harga. Dasar harga maksimum ialah satu dasar kerajaan menetapkan harga yang lebih rendah daripada harga keseimbangan di pasaran.
- Sebaliknya semasa kemelesetan, kerajaan boleh melaksanakan dasar harga minimum bagi membendung kejatuhan harga barang. Hal ini boleh mengurangkan sedikit keadaan kemelesetan yang berlaku. Dasar harga minimum ialah satu dasar kerajaan menetapkan harga yang lebih tinggi daripada harga keseimbangan di pasaran.
5. Walau bagaimanapun, pemantap automatik mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya ialah semasa inflasi atau pengangguran, pemantap automatik tidak dapat mengatasi masalah tersebut. Pemantap automatik hanya dapat mengurangkan masalah tersebut tetapi ia tidak dapat menstabilkan tingkat kegiatan ekonomi.
6. Dengan demikian, pemantap automatik bukanlah satu dasar fiskal yang utama yang digunakan untuk menstabilkan naik turun tingkat kegiatan ekonomi dari semasa ke semasa. Oleh itu, satu dasar fiskal yang lebih berkesan akan digunakan. Dasar fiskal itu disebut sebagai dasar fiskal diskresioner atau dasar fiskal budi bicara.
No comments:
Post a Comment